RSS

Lalai solat kerana pengaruh dunia

PERNAHKAH kita bersedih kerana tertinggal sembahyang, terlewat mengerjakannya atau pernahkah perasaan rugi kerana tidak sempat melakukan solat secara berjemaah?
Pernahkah kita terasa berdosa tidak ‘beradab’ menghadapi Allah? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Kali ini penulis ingin menyentuh soal lalai dalam solat.
Lawan lalai ialah khusyuk dan ia bukan setakat dapat menumpukan perhatian dan faham apa yang dibaca dalam sembahyang tetapi menimbulkan rasa-rasa dengan Tuhan.

Kalau tidak ada rasa-rasa yang berubah dalam sembahyang seperti gerun, hebat, cinta, takut, berharap kepada Tuhan maka itu tanda tidak khusyuk.

Lalai dalam sembahyang ada beberapa peringkat seperti berikut:

1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena
    langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan
    sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.

2. Dalam sembahyang. Ada masa lalai dan ada masanya ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang.
    Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia.

3. Boleh ikut dan menyorot apa yang dia baca dalam sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang
    dibaca dan dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai.

Bila tidak faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak menghayati, masakan boleh merasa apa-apa dengan Tuhan.

4. Boleh faham segala apa yang dibuat, dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang. Sembahyang seperti ini
    sudah agak baik. Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang kerana   
    belum ada apa-apa rasa dengan Tuhan. Khusyuk adalah rasa bukan setakat tahu atau faham.

5. Faham akan segala apa yang dibaca dan dilafazkan dalam sembahyang dan kadang-kadang ada rasa tetapi
    tidak pada sepanjang masa dan waktu di dalam sembahyang. Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada
    lalai. Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang tetapi rasa-rasa dengan Tuhan tidak wujud
    sepanjang waktu dalam sembahyang.

6. Sembahyang yang tidak lalai itu ialah yang sentiasa mempunyai rasa dengan Tuhan yang berubah-ubah dari
    satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan, bermula dari takbiratul
    ihram hinggalah kepada salam. Inilah sembahyang yang tidak lalai. Inilah sembahyang yang benar-benar
    khusyuk.

Lalai berpunca daripada pengaruh dunia. Kalau dunia berada di hati amat sukar untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang. Dunia akan terbawa dalam sembahyang.

Sebab itu kalau dalam sembahyang hanya ada rasa-rasa keduniaan seperti seronok baru berjumpa kawan, teringat polis saman kereta kita salah parking atau bimbang tak sempat pergi ke bank sebelum bank tutup dan sebagainya.

Rasa-rasa ini ialah rasa dunia yang melalaikan, bukan rasa-rasa khusyuk. Sekiranya kita tidak kenal Tuhan, hanya setakat tahu dan percaya sahaja,
kita tidak akan dapat rasa khusyuk.

Paling tinggi ketauhidan kita hanya di peringkat akal atau fikiran sahaja kerana tahu dan percaya itu perkara akal. Kita dikatakan orang yang berfikiran tauhid, bukan yang berjiwa tauhid.

Mengenal Tuhan ialah langkah pertama untuk mendapat khusyuk. Setelah mengenali Tuhan barulah kita akan dapat merasakan kehebatan dan keagungan Tuhan di hati kita kerana kenal itu perkara hati.

Barulah kita akan dapat rasa bertuhan. Selagi hati kita tidak dapat rasa bertuhan, ia tidak akan dapat rasa kehambaan dan ia tidak akan dapat rasa khusyuk.

Ada hadis berbunyi: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah” Maksudnya, selagi kita tidak kenal Allah, agak sukar untuk kita beragama. Kita tidak akan boleh khusyuk.

Selagi kita tidak boleh khusyuk kita sebenarnya belum berjiwa Tauhid. Kalau kita belum berjiwa Tauhid kita tidak akan mampu mengamalkan dan menegakkan syariat Islam secara lahir dan batin.


Mungkin kita boleh laksanakan syariat lahir tetapi batinnya kosong. Tidak ada khusyuk, tidak ada roh dan tidak ada jiwa. Padahal Islam itu mesti ada lahir dan batinnya.

dipetik dari mymetro...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Dosa racuni hati, perasaan

MENJADI nikmat paling berharga dalam kehidupan manusia apabila memiliki jiwa tenang. Jiwa tenang akan sentiasa berbahagia dalam mengharungi setiap cabaran, malah masih mampu tersenyum menghadapinya.
Jiwa tenang tidak mudah berputus asa, mengeluh dan berperasaan hasad dengki kerana semua sifat mazmumah itu boleh memusnahkan diri.

Semua cabaran kehidupan perlu dihadapi dengan sikap positif kerana perjuangan memupuk sifat terpuji akan melahirkan jiwa tenang. Dalam dunia moden ini, penyakit jiwa dikenali sebagai gangguan psikologi.

Ia memerlukan rawatan segera kerana kesannya amat buruk sekali kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Alangkah manisnya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan dan ketenteraman. Kegelisahan yang melanda diri seseorang menyebabkan mereka mengalami kebingungan. Ketika itu diri terasa tiada tempat lagi untuk mengadu.

Jiwa tak tenteram sebenarnya mempunyai sebab tersendiri. Antara sebab utamanya adalah melakukan dosa. Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan.

Maka kita mesti menjauhi segala kejahatan yang disebabkan daripada anggota badan. Tujuh anggota badan paling berpengaruh dalam melakukan dosa adalah mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga ada ulama yang mengatakan, Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa.

Mata hendaklah digunakan bagi melihat perkara yang baik dan indah, bukan yang haram atau yang lucah. Telinga mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar sesuatu yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar umpatan dan fitnah.

Perut mesti diisi dengan makanan yang halal. Sebab yang menjadikan diri tidak tenang juga berpunca daripada hati kotor. Bukan saja dengan dosa tapi juga akhlak tercela.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing." Dimaksudkan dengan malaikat ialah ketenangan yang dibawa. Rumah pula ialah hati manakala anjing adalah menggambarkan sifat dan akhlak tercela.

Jika kita mempunyai akhlak tercela, hati bertindak sebagai rumah itu pasti menjadi kotor dan ketenangan tidak akan datang menjenguk.

Malaikat rahmat tidak akan berada di tempat tinggal mereka tetapi syaitan yang akan 'menetap'.

Sifat tercela membuatkan seseorang sering menjadi risau. Hasad dengki pula membuatkan mereka tidak suka melihat orang senang, bersifat takbur, ego serta sombong.

Itulah tekanan pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam menandinginya. Begitu juga ujub dan riak kerana sifat demikian berpunca daripada perasaan mereka mahu dilihat sempurna sedangkan orang lain dipandang rendah.

Begitu juga sifat bakhil atau kedekut. Mereka tidak akan pernah tenang, hatinya akan terikat dengan harta, cinta harta tak salah tapi kedekut itu buat orang gundah.

Cintakan kemasyhuran dan popular langsung tiada perasaan rendah diri, hati akan gelisah. Sifat pemarah membuatkan orang menjadi pendendam. Hanya rasa takut kepada Allah saja boleh menghilangkan rasa marah itu.

Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia bagaimana untuk merawat jiwa yang tidak tenteram. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi penasihat (pengajaran) daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin (jiwa) yang ada di dalam dada kamu serta menjadi petunjuk (hidayah) untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman." (Surah Yunus ayat 57).

Bahkan amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran mampu mententeramkan jiwa. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tidak berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran) dan membincangkannya bersama-sama, melainkan turun ke atas mereka 'as-sakinah' (ketenangan) dan diliputi mereka dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh malaikat dan Allah menyebut amalan mereka itu di hadapan makhluk Allah yang ada di sisi-Nya." (Riwayat Bukhari )

dipetik dari  mymetro.....

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

WARKAH BUAT HAMBA

"Tuhan tidak pernah melupakanmu,
Namun diri hamba yang hina ini selalu melupakanmu,
Ketahuilah, Tuhan yang Maha pemurah itu telah memberikan nikmat padamu,
dan, dalam sedar atau tidak,
Kau langsung tidak mensyukuri,
Tuhanmu datangkan sedikit ujian padamu,
Tetapi kau merungut dan meratap-meratap,
Tahukah kamu ujian itu adalah nikmat,
Untuk memberi ingatan padamu,
Bahawa DIA sentiasa memperhatikanmu,
Tidak pernah tujuanNYA untuk menyusahkan dan membebankan,
Bahkan ia adalah tanda kasih Tuhan terhadap hambaNYA...."

"Tuhanmu berada amat dekat denganmu,
Lebih dekat daripada denyutan nadimu,
Lebih dekat daripada aliran darahmu,
Bahkan lebih dekat lagi daripada nyawamu sendiri,
DIA Maha mengenali dirimu dan lebih dari apa yang kau tahu,
DIA Maha Menguasai dan Maha Memberi,
Mintalah apa saja yang kau mahu daripada-Nya ,
Dan pohonlah pertolongan dan petunjuk-NYA,
Mintalah agar kau sentiasa redha dan tenang dalam ujian-NYA,
Tuhanmu sentiasa ada dalam dirimu,
Setiap ketika dalam hidupmu....."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS